Viral di laman sosial Facebook apabila seorang pengedar DAG yang bertapak di Butterworth tampil memberi bantuan bantal kepada mangsa kemalangan di Telok Air Tawar, semalam.
Menerusi page @penangkini, sikap prihatin yang ditunjukkan individu berkenaan dianggap mulia malah sanggup mengepikan soal keuntungan berbanding nilai kemanusiaan.


Syauqi atau nama sebenarnya Ahmad Syauqi Azraei Mohd Latif, 33, bagaimanapun tidak menjangka tindakannya itu menjadi perhatian ramai.
Katanya ketika kejadian, dia sedang menjalankan aktiviti perniagaannya secara CBS berdekatan dengan lokasi kemalangan menyebabkan dia terpanggil untuk membantu.
“Saya sedang berCBS dalam 20 meter dari kemalangan. Ketika tu saya nak bantu tapi tak tahu nak bantu macam mana..”
“Jadi saya bantu dengan apa yang ada dengan saya ketika itu iaitu bantal dan tuala.
“Tuala untuk tutup badan mangsa yang terdedah.. kebetulan mangsa adalah perempuan,” katanya ketika dihubungi.


Rata- rata pengguna memuji tindakan Syauki dengan melabelkan lelaki itu sebagai hero sebenar di sebalik kemalangan yang berlaku.
Seorang pelayar Facebook berkata sikap tidak berkira Syauqi itu wajar dicontohi orang ramai tanpa mengharapkan balasan.
“Dia tak berkira wang ringgit tapi dalam jiwa dia ada sifat kemanusiaan dan kasih sayang.. semoga Allah swt murahkan rezeki dan berkati setiap apa yang dia lakukan. Terbaik,” tulis Da Em.
“Semoga cepat sembuh dan kepada abang jual bantal, semoga dimurahkan rezeki seperti air yang mengalir,” tulis Masna Mas.


Lebih mengejutkan seorang individu muncul menceritakan sifat sebenar Syauki yang tidak diketahui ramai.
Katanya Syauqi dikenali dengan sifat prihatin dan suka berkongsi rezeki malah pernah menghadiahkan beberapa biji bantal kepada anak kecilnya.
“Abang bantal ni memang sangat-sangat baik hati. Berapa banyak dah bantal free dia bagi kat baby saya. Ilmu pun tak pernah kedekut. Selalu kongsi ilmu pasal bisnes. Semoga dimurahkan rezeki lagi,” tulis Natasha Adila.
Diharap sikap mulia Syauqi dapat memberi inspirasi dan menjadi contoh terbaik kepada anda semua. Tahniah Syauqi!